Obses Nak Putih, Kulit Wajah Bertukar Hitam Selepas Henti Guna Krim, Kesan Produk Ada Merkuri

 

Memiliki kulit wajah yang putih, mulus dan licin sememangnya menjadi impian setiap wanita.

Justeru, tidak hairanlah ada yang sanggup melabur wang yang banyak demi mendapatkan kulit wajah idaman ibarat telur yang dikupas.

Namun dalam keghairahan untuk mendapatkan kulit wajah yang sempurna, segelintir kaum Hawa cenderung untuk terpengaruh dengan membeli produk yang kononnya mampu memberikan kesan positif dalam jangka masa yang singkat sahaja!

Gembira bukan kepalang apabila melihat wajah yang dahulunya kusam kian berubah menjadi cerah dan anjal, namun tahukah anda tidak semua bahan di dalam produk berkenaan selamat untuk digunakan malah memudaratkan tubuh.

Sebagaimana perkongsian seorang wanita yang menggunakan akaun TikTok @nurnnyas, dia berkongsi kesan yang ditanggung ketika ini akibat pemakaian produk yang mengandungi merkuri.

Jelas wanita berkenaan, kulit wajahnya berubah menjadi kehitam-hitaman seperti kesan terbakar selepas setahun menggunakan krim produk berkenaan.

"Saya fikir pada mulanya kerana sinaran matahari sebab saya bekerja di lapangan (luar). Tapi lama-lama pun kesannya tidak hilang. Akhirnya saya memutuskan untuk berhenti.

"Tapi bila berhenti, makin teruk. Saya kebingungan dan ambil langkah untuk biarkan saja. Tiga tahun kebelakangan ini, kesannya memburuk," katanya menerusi video berkenaan.

Wanita tersebut berkata, dia kemudian mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di klinik kulit.

"Seorang doktor mendiagnosis kulit saya dan menurutnya selain kerana kesan merkuri, masalah tersebut juga berpunca akibat kesan terkena sinaran matahari secara terus ke kulit," katanya lagi.

Masih di dalam tempoh rawatan, wanita berkenaan berkata perkongsian yang dibuat di TikTok bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan produk wajah terutama yang mengandungi bahan seperti merkuri.

Justeru, bagaimana caranya untuk mengenal pasti sama ada sesuatu produk mengandungi merkuri?

Portal Hellodoktor berkongsi beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan produk tersebut selamat dan tidak mengandungi merkuri, iaitu:

1) Cuba sapukan krim tersebut pada tangan dan gosokkan barang kemas yang diperbuat daripada emas. Jika krim tersebut bertukar warna kepada kelabu atau kehitam-hitaman, ia mengandungi merkuri.

2) Periksa label di belakang produk. Jika ada perkataan mercurous chloride, calomel, mercuric, mercurio atau mercury, anda perlu berhenti menggunakan produk tersebut secepat mungkin.

3) Krim yang mengandungi merkuri mempunyai bau yang kuat dan menusuk hidung.

Ibu yang mengandung dinasihatkan untuk mengelakkan pengambilan produk yang mengandungi merkuri.

Implikasinya bukan sahaja akan menimpa si ibu, ia juga boleh membawa masalah kepada bayi dalam kandungan.

Untuk mendapatkan maklumat sahih, anda boleh memeriksa jenama produk yang mengandungi merkuri melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jadilah pengguna yang bijak.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Pihak Media Portal tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post