Selepas Bapanya Dipercayai DicuIik, Ini Yang Berlaku Kepada Pelakon Mustapha Ma’arof


 Datuk Mustapha Azahari bin Ma’arof lahir pada 1 Januari 1935. Beliau yang dikenali sebagai Mustapha Ma’arof merupakan salah seorang pelakon terkenal filem Melayu klasik.

Namun, mungkin ramai tidak tahu bapanya, Ma’arof Zakaria merupakan orang Melayu pertama membuka bank di negara kita, iaitu Bank Kebangsaan Melayu pada 12 Mei 1947. Pejabatnya terletak di Klyne Street, Kuala Lumpur (sekarang Jalan Hang Lekiu).

Kejayaan Ma’arof ini bagaimanapun mengundang ramai musuh. Rumahnya pernah diserang dan ditembak oleh tiga orang lelaki. Beliau selamat dalam serangan itu, tetapi tujuh bulan kemudian iaitu pada 6 Disember 1947, mayatnya dijumpai tergantung di sebuah kebun getah di Batu 212, Jalan Bentong, Pahang, dipercayai dibunuh. Sehingga sekarang pembunuh Allahyarham Maarof masih gagal dikesan. Kes ini tidak pernah ditutup.

Salah satu artikel tentang pembunuhan Ma’arof Zakaria.

Tapi tahukah anda kesan peristiwa itu kepada Mustapha?

Kejadian itu berlaku ketika Mustapha berusia 12 tahun dan sedang menuntut di Tingkatan Satu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), iaitu sebuah sekolah elit untuk para pelajar cemerlang.

Kematian ayahnya dalam keadaan yang tragik menyebabkan Mustapha amat tertekan. Beliau diburu perasaan marah, sedih dan kerinduan. Ini kerana Mustapha sangat rapat dengan arwah bapanya, sementelahan pula selepas bercerai, ibu kandungnya berkahwin lain. Bapanya juga berkahwin lain dan tinggal di sebuah banglo Jalan Klang Lama.

Rasa kehilangan ini membuatkan Mustapha hilang minat untuk meneruskan pelajarannya di MCKK. Mustapha berpindah ke sekolah Batu Road, Kuala Lumpur. Namun hanya bertahan setahun setengah saja kerana jiwanya berasa kosong akibat rindukan bapanya.

Ini menyebabkan Mustapha berpindah tinggal dengan datuk dan neneknya di Kampung Ayu Ara, Mambau, Negeri Sembilan dan menyambung pelajaran di Sekolah King George V, Seremban. Bagaimanapun, Mustapha tidak sempat menghabiskannya ke peringkat Senior Cambridge.

Nenek Mustapha, Halimah binti Abdullah.

Bagi mengisi kekosongan jiwanya, Mustapha pergi ke pekan Seremban menonton wayang. Selalunya di panggung Cathay dan SB (Shaw Brothers). Semua filem Melayu yang baru keluar akan ditonton. Kalau yang menepati seleranya, Mustapha menonton beberapa kali.

“Mungkin minat yang mendalam terhadap filem menyebabkan saya tidak lagi fokus kepada pelajaran. Saya kerap terkenangkan arwah ayah. Hidup di kampung pula tidak selesa seperti di Kuala Lumpur.

 “Saya juga sering berasa sendirian. Emak kandung dan emak tiri sudah berkahwin lain. Saya tidak mahu ganggu mereka. Kasih sayang sudah tidak saya rasa lagi seperti ketika arwah ayah ada. Ada ketikanya saya berasa terbiar apabila berada bersama datuk dan nenek. Apatah lagi, tidak berapa lama kemudian datuk saya, Mohd. Ali, meninggal dunia. Lapan bulan kemudian nenek saya pula pergi buat selama-lamanya,” kata beliau dalam buku Mustapha Ma’arof Seniman Merentas Zaman : Sebuah Biografi Tokoh Perfileman Malaysia (terbitan Finas, 2014).

Sugguhpun begitu, Mustapha masih meneruskan minatnya menonton wayang, membeli majalah berkaitan dunia seni dan filem Melayu. Beliau sering berangan-angan menjadi anak wayang terkenal seperti P. Ramlee, S. Romai Nor dan M. Amin.

Ketika usianya 17 tahun, Mustapha memohon kerja sebagai askar dengan Rejimen Askar Melayu dan telah diterima. Tetapi ditakdirkan, Mustapha demam ketika hari pemeriksaan kesihatan dijalankan. Hari itu Jumaat, Mustapha meminta kebenaran daripada seorang korporal untuk pulang selama tiga hari.

“Korporal itu berpesan supaya saya datang pada hari Isnin kerana pihak kem mahu mendapatkan tandatangan pelatih untuk perjanjian menjadi tentera selama 12 tahun. Apabila balik ke kampung, saya sedar, saya tidak boleh menjadi tentera, ia tidak secocok dengan jiwa saya. Saya tidak kembali ke kem, sebaliknya terus tinggal di kampung dan berfikir untuk mencari kerja lain.

“Suatu hari saya membuat keputusan untuk ke Singapura mencuba menjadi pelakon. Idola saya pada masa itu ialah P. Ramlee dan S. Roomai Nor,” cerita Mustapha lagi.

Sebelum Mustapha ke Singapura, guru yang mengajarnya mengaji berpesan supaya mencari pelakon, Haji Mahadi setelah tiba di sana. Haji Mahadi adalah pelakon terkenal ketika itu dan bergiat di Malay Film Production (MFP). Guru mengaji itu ialah Haji Mat Noh, adik kepada Haji Mahadi.

Pada pertengahan 1952, Mustapha menaiki kereta api ke Singapura dengan membawa sebuah beg peti kecil dan wang poket RM100. Sampai di studio MFP Jalan Ampas, beliau terus mencari Haji Mahadi.

Di dalam studio, Mustapha berasa seronok melihat kakitangannya bekerja dan pelakon-pelakon terkenal lalu lalang di hadapannya. Pada masa itu Mustapha nampak Rosnani Jamil, Salleh Kamil dan Omar Rojik. Ini menyebabkan semangatnya hendak menjadi pelakon filem semakin membuak-buak.

Mustapha bersama Mak Dara dan Salmah Ahmad dalam filem Ibu Ayam.

Apabila bertemu dengan Haji Mahadi, Mustapha segera menyatakan tujuannya ke situ. Bagaimanapun Haji Mahadi tidak menggalakkan Mustapha mengejar cita-cita menjadi pelakon di studio itu kerana persaingan terlalu sengit. Lagipun pelakon yang mengikat kontrak dengan MFP sudah terlalu ramai.

Haji Mahadi menasihati Mustapha supaya mencuba nasib di Keris Filem, yang terletak di Jalan Tempinis. Haji Mahadi memperkenalkan Mustapha dengan kawannya iaitu Pengarah, L. Krishnan.  L. Krishnan kemudian membawa Mustapha berjumpa dengan pihak pengurusan studio dan bermulalah perjalanan seni Mustapha…

Datuk Mustapha Ma’arof lahir pada 1 Januari 1935. Sepanjang hayatnya Allahyarham telah berlakon dalam lebih 40 buah filem, antaranya Hang Tuah (1956), Pontianak (1957), Bawang Putih Bawang Merah (1959), Sri Mersing (1961), Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961), Naga Tasik Chini (1966), Matinya Seorang Patriot (1984) dan Iman Alone (1998).

Namun tiada yang kekal di dunia ini. Pelakon legenda ini meninggal dunia pada 15 Disember 2014 kerana kesukaran bernafas. Jenazah beliau dikebumikan di sebelah pusara isterinya, Allahyarhamah Roseyatimah, di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Semoga roh Allahyarham Datuk Mustapha Ma’rof dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para mukminin dan solehin yang dikasihi-Nya. Amin.

Sumber Utusan TV

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Pihak MyTeam Network tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post