Bermula Dengan Ikut Kawan, Pemuda Ini Tular Sebagai Penggali Kubur. Gali Tanah Untuk ‘rumah’ Terakhir Sebagai Ganjaran Pahala

 

Menguruskan destinasi terakhir untuk jasad manusia di muka bumi ini bukanlah satu pekerjaan yang digemari oleh golongan orang muda. Tidak ramai belia yang berminat untuk melakukan kerja ini walaupun ia sebahagian daripada fardu kifayah.

Namun berbeza bagi pemuda bernama Muhammad Harith Saring, 27, yang mendedikasikan hidupnya untuk liang lahad sejak hampir sedekad yang lalu. Beliau yang mesra dipanggil Ayep memberitahu, kerja menggali kubur dilakukannya sebagai salah satu kerja amal sejak berusia belasan tahun.


Pada mulanya, dia hanya sekadar mengikut kawan dan bapa saudaranya yang sering menggali kubur apabila berlaku kematian.

 “Mula-mula dulu saya hanya ikut kawan-kawan sahaja. Daripada situ saya mula belajar bagaimana menggali kubur. Sejak itu, ia jadi kerja amal yang akan saya lakukan setiap kali ada masa terluang,” ujarnya yang membantu menguruskan tanah perkuburan di Kampung Sungai Ramal Dalam dan Kampung Sungai Ramal Luar di Kajang, Selangor.


Menurut pemuda yang bertugas sebagai seorang pegawai tadbir ini, kerja menggali kubur dilakukannya dengan kawan-kawan secara sukarela tanpa menerima ganjaran atau bayaran. Cuma, pihak masjid ada memberikan mereka saguhati setiap kali selesai menyediakan liang lahad apabila berlaku kematian.

“Awal-awal dulu, takut juga. Ada kawan saya yang penakut dan ada juga yang berani. Tapi kami nak cuba perkara baru, dan ini pun ganjaran pahala juga. Jadi kami teruskan. Lama kelamaan, kami dah biasa.

 “Orang mungkin fikir takut, tapi saya rasa lain. Bila berada dalam liang lahad, ia memberi kesedaran dan keinsafan buat saya rasa ingin bertaubat. Ia juga mengingatkan saya supaya tidak melakukan perkara tidak elok semasa hidup kerana kelak di penghujungnya, inilah ‘rumah’ terakhir kita,” ujarnya.

Sepanjang menjadi penggali kubur, Ayep juga pernah terlibat menguruskan jenazah mangsa Covid-19 semasa era pandemik sebelum ini. Antara yang diingatinya ialah menggali kubur untuk jenazah ibu dan anak yang meninggal dunia kerana Covid-19 dan dikebumikan dalam satu liang lahad.

“Semasa era pandemik, banyak yang membuat saya sebak. Antaranya bila menggali liang lahad untuk kanak-kanak yang masih kecil dan meninggal dunia seorang diri tanpa ahli keluarga di sisi yang tidak dibenarkan dekat kerana Covid-19. Ada juga jenazah yang sudah reput. Itu semua antara yang membuatkan hati saya sedih bila melihatnya,” cerita Ayep.

Gelagat Ayep yang melakukan tugas menggali kubur mula mendapat perhatian apabila dia berkongsi videonya menerusi laman sosial Tik Tok tahun lalu.

“Kawan saya suruh buat akaun TikTok. Tak sangka video gali kubur saya jadi viral. Banyak juga komen positif yang saya terima dan ramai yang beri sokongan,” katanya.

Ada juga yang bertanyakan pengalaman mistik dan aneh sepanjang dia menjadi penggali kubur. Menurut Ayep, sepanjang dia menggali kubur, belum ada lagi kejadian pelik yang dilaluinya.

“Alhamdulillah tiada apa-apa yang aneh dan misteri berlaku sepanjang hampir 10 tahun saya jadi penggali kubur. Yang penting, jangan ada perasaan takut. Tak ramai golongan muda yang sanggup buat kerja begini, sedangkan ia juga satu ganjaran pahala dan sentiasa membuat kita beringat tentang kematian.

 “Bukan hanya untuk jenazah orang lain, suatu hari nanti jika ditakdirkan kedua orang tua saya dijemput Ilahi, saya juga mahu berbakti untuk kali terakhir dengan menggali sendiri ‘rumah’ terakhir untuk persemadian mereka,” katanya.

Sumber Utusan TV

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Pihak MyTeam Network tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post