Pada malam itu, si isteri bermimpi melihat bulan
purnama jatuh ke ribaannya. Apabila terjaga, si isteri lantas menceritakan
mimpi itu kepada suaminya. Si suami, lantas naik berang sambil berkata: “Apakah
benar mimpimu ini Shafiyah? Barangkali engkau hendakkan Raja Hijazz, si
Muhammad itu?”
Akibat berasa cemburu, si suami terus menampar si
isteri dengan sekuat hati. Tamparan itu menyebabkan pipi si isteri membengkak.
Sehari-harian si isteri menangis mengenangkan
kekejaman suaminya. Si isteri tidak menyangka, niatnya bercerita bermimpi bulan
purnama telah menimbulkan perasaan cemburu di hati suaminya.
Tidak lama selepas peristiwa itu, berlakulah
peperangan Khaibar. Si suami yang menjadi benteng Qumush, pertahanan perang
Yahudi itu berjaya dibunuh tentera Islam.
Setelah si suami terbunuh, si isteri yang menjadi
balu ketika berusia 17 tahun dibawa ke hadapan Rasulullah. Serta-merta dia
teringat kembali mimpi bulan purnama jatuh ke ribanya. Sekarang dia sedang
berada di hadapan Nabi yang sangat dicemburui suaminya. Dia terpegun melihat
wajah Nabi bersinar bak bulan purnama.
Lantas tanpa disangka, baginda menutup kepalanya
dengan kain ridak. Baginda lalu bertanya: “Adakah Shafiyah mahu dibebaskan,
kembali kepada kaummu Yahudi atau menerima Islam?”
Shafiyah menjawab: “Wahai Rasulullah aku amat
mengharapkan Islam dan telah aku pastikan akan menerima jemputanmu! Sekarang
aku amat bertuah berada di hadapanmu ya, Rasulullah dan aku diberi pilihan
antara kafir dan Islam. Aku bersumpah demi Allah dan Rasul-Nya lebih aku
kasihi, daripada kebebasanku dan kembali kepada kaumku!”
Baginda tersenyum. Akhirnya Shafiyah diislamkan
oleh Nabi sendiri. Setelah mengucap dua kalimah syahadah, baginda bertanya :
“Mahukan Shafiyah menjadi isteriku?”
“Aduhai Rasulullah, aku telah bercita-cita hendak
berkahwin dengan Rasulullah ketika aku masih musyrik (kafir) lagi. Betapa tidak
ya Rasulullah, sekarang Allah telah membolehkan, setelah aku masuk Islam,”
beritahunya.
Tujuan Rasulullah berkahwin dengan Shafiyah untuk
mengurangkan dendam kesumat Yahudi terhadap orang-orang Islam yang dikalahkan
dalam Perang Khaibar. Akhirnya, semasa tiba di al-Sabha, dalam perjalanan
pulang ke Madinah, baginda berkahwin dengan Shafiyah.
Setelah berkahwin, Shafiyah bercerita tentang mimpi
bulan jatuh ke ribanya dan peristiwa ditempeleng suaminya, Kinanah Ibn Ar Rabi.
Shafiyah menunjukkan kesan bengkak akibat ditampar kepada Nabi yang masih
berbekas di pipinya.
Baginda tersenyum sambil memberitahu mimpi Shafiyah
yang dialami itu benar. Shafiyah pula gembira mimpinya menjadi kenyataan.
Setelah berkahwin, Shafiyah selalu disindir oleh
madunya seperti Siti Aisyah dan Siti Hafshah mengenai salasilah keturunannya,
bangsa Yahudi.
Rasulullah mengajar Shafiyah supaya menjawab
begini: “Suamiku Nabi Muhammad, datukku Nabi Harun dan bapa saudaraku, Nabi
Musa. Shafiyah, terangkan kemuliaan keturunan kamu!”
Apabila disindir, Shafiyah terus menjawab seperti
diajar Nabi. Akhirnya madu-madunya diam seribu bahasa. Siti Aisyah dan Siti
Habsah tahu kata-kata yang diucapkan Shafiyah itu diajar oleh Rasulullah s.a.w
NOTA : Nama
sebenar Shafiyah ialah Shafiyah Huyai Ibn Akhtab, seorang wanita keturunan
Yahudi dari Kabilah Bani An-Nadhir, yang juga daripada keturunan Nabi Harun.
Shafiyah meninggaI dunia ketika berusia 60 tahun dan dikebumikan di Perkuburan
Baqi di Madinah.
Sumber Pedoman Iktibar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share
Ya… Terima Kasih.
Pihak MyTeam
Network tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui
laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko
akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.