Mencari ayam hutan salah satu hobi aku untuk
mengisi masa lapang. Namun, ada satu pengalaman yang pernah aku lalui masih
segar dalam ingatan dan membuat aku lebih berhati-hati.
Kejadian ini berlaku pada tahun 2014. Ketika itu
aku bersama Wak Por dan dua orang rakan (aku namakan sebagai Salleh dan Johar)
keluar mencari ayam hutan di sekitar kawasan ladang di Parit Dua, Simpang
Renggam, Johor.
Ketika itu, kami ternampak sekumpulan ayam hutan
sedang tidur di atas pelepah-pelepah pokok kelapa sawit yang telah gugur.
Perlahan-lahan aku dan Wak Por dan Zaki mengacukan senapang.
Pang! Pang! Pang! Beberapa das tembakan dilepaskan.
Kawanan ayam hutan itu bertaburan lari. Beberapa ekor ayam jatuh rebah ke
tanah. Kami segera berlari ke arah ayam itu dan menyembelihnya.
Dalam masa sejam menembak, hasil yang kami dapat
itu boleh tahan banyak juga. Kami berempat mendapat lebih kurang sembilan ekor
ayam setiap seorang. Kebiasaannya, kami tidak dapat sebanyak itu. Selalunya
dalam tiga empat ekor sahaja.
Di situ juga kami siapkan kelengkapan masakan. Tiga
ekor ayam kami masak di situ juga untuk dijamah manakala selebihnya dibawa
pulang. Ayam hutan memang sedap. Isinya berbeza dengan ayam kampung dan ayam
bela yang dijual di pasar. Dagingnya pejal tetapi lembut dan manis. Tambah pula
makan di dalam kebun, memang menyelerakan. Menjelang petang, kami keluar dari
kawasan ladang kelapa sawit itu dan pulang ke rumah masing-masing.
Dua hari kemudian, semasa aku sedang sedang
berkebun, tiba-tiba badan terasa panas sejuk. Sendi-sendi mulai lemah. Sebab
rasa lain macam, aku hentikan kerja dan pulang awal ke rumah.
Sampai di rumah, kepala pula terasa sakit. Aku
terus telan beberapa biji ubat. Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata.
Kepala terasa sangat sakit seperti hendak pecah. Badan pula menggigil-gigil
kesejukan.
Puas aku baring ke kiri, ke kanan. Mengiring dengan
macam-macam posisi, semua serba tak kena. Akhirnya aku duduk dalam keadaan
kedua tangan memeluk kaki yang dilipatkan, manakala dagu disandarkan di atas
lutut. Hanya dengan posisi begitu baru aku rasa selesa dan tidak sakit. Kalau
diikutkan, posisinya itu seakan-akan seperti seekor ayam.
Keesokan harinya, demam aku masih tidak kebah.
Selera makan pun hilang. Aku cuma mampu minum air kelapa muda saja. Keadaan itu
berlarutan selama lima hari. Memang terasa seksa. Selera makan hilang, badan
aku lemah. Paling perit semasa mahu tidur. Aku langsung tak boleh merebahkan
badan. Aku hanya mampu tidur seperti ayam dalam keadaan duduk.
Hari keenam, kebetulan Wak Por menghubungi aku
sebab dia hairan kenapa sudah lama aku tidak menelefonnya.
“Aku sakitlah Wak. Kau boleh tolong tak ?”
pertanyaan aku itu terus membuatkan Wak Por datang ke rumah aku tak lama
selepas itu.
Sebaik tiba di rumah, Wak Por tersengih melihat
keadaan ku yang lemah. “Aku tahu kau ni kenapa. Aku pun dua hari demam. Mari
sini aku ubatkan,” kata Wak Por.
Wak Por duduk di belakang aku dan membacakan
sesuatu lalu ditepuk-tepuknya belakang badan. Beberapa kali Wak Por buat
begitu, terus aku boleh bangun semula. Rasa sakit sendi hilang, badan terus
rasa lega. Serta merta juga perut aku berkeroncong terasa lapar.
“Kenapa sebenarnya dengan aku, Wak?” aku bertanya.
“Kau kena ganggu. Ada
benda kacau,” itu saja jawab Wak Por. Bila ditanya lebih lanjut, dia tak mahu
jawab.
Kawan pula
jatuh sakit
KEESOKAN
harinya, aku dapat panggilan telefon memberitahu Salleh pula sakit. Dia asyik
meracau-racau seperti disampuk sesuatu. Aku tak tunggu lama, terus hubungi Wak
Por. Kami berdua terus ke rumah Salleh. Sebaik tiba, kami lihat dia sedang
meracau-racau. Bila aku pegang, dia meronta-ronta minta dilepaskan.
Wak Por
segera membaca jampi dan ditiupkan ke mukanya. Tidak semena-mena badannya terus
lembik dan pengsan. Tak lama kemudian, Salleh sedar dan pulih semula. Ingatkan
sudah habis, rupa-rupanya belum lagi.
Hari berikutnya, aku dapat panggilan lagi kali ini
memberitahu Johar pula jatuh sakit. Dia demam panas hingga tidak dapat
melelapkan mata. Kepalanya sangat sakit seperti mahu pecah.
Apa lagi, aku dengan Wak Por terus ke rumah Johar.
Kali ini, lain sedikit. Sebaik kami sampai dan Johar bertentang mata dengan Wak
Por, dia terus bangun.
“Pulangkan ayam aku!” kata Johar sambil memandang
ke wajah Wak Por.
Wak Por dan aku diam seketika. Bagaimana mahu
pulangkan, sedangkan ayam itu sudah tiada. Sudah disembelih dan dimasak.
“Kalau saya ganti ayam lain, boleh?” soal Wak Por.
“Tidak mahu! Pulangkan ayam aku!” katanya lagi.
“Macam mana kalau kita buat perjanjian?” kata Wak
Por. Johar hanya diam.
Wak Por kemudian terkumat-kamit membaca sesuatu.
Johar yang sedang dirasuk itu pula hanya mengangguk-anggukkan kepala. Aku
sendiri tidak tahu apa yang dilakukan oleh Wak Por. Sebentar kemudian dia
meniup ke arah Johar dan terus rakan kami itu rebah. Tidak lama selepas itu,
baru Johar sedar semula.
Selepas itu, Johar bercerita kepada kami, semalam
sewaktu mahu tidur dia melihat seorang lelaki bersongkok dan berpakaian kemas
datang menemuinya.
“Lelaki itu minta aku pulangkan kembali ayamnya.
Selepas itu, esok pagi datang lagi tiga orang lelaki bersama lelaki bersongkok
semalam. Pun sama, dia masih minta ayamnya dikembalikan. Lepas itu, aku tak
sedar dah apa yang berlaku,” cerita Johar.
Aku mula risau bila mendengar cerita Johar. Tak
boleh buat main-main kalau sudah kami semua habis kena ‘kacau’.
“Habis macam mana, Wak?” aku bertanya kepada Wak
Por.
“Tak mengapa. Wak sudah buat perjanjian dengan
makhluk itu. Dia tidak akan ganggu kita lagi,” balas Wak Por.
Perjanjian apa? Kata Wak Por, perjanjiannya ialah
di masa hadapan, Wak Por tidak boleh masuk sehingga ke bahagian hujung kawasan
ladang itu. Wak Por hanya boleh mencari ayam hanya sekerat jalan. Sekiranya
melanggar perjanjian, sesuatu yang buruk akan berlaku.
“Tapi kamu bertiga tak apa-apa. Kamu semua boleh
masuk,” kata Wak Por kepada kami. Tapi, Salleh dan Johar dah angkat bendera
putih. Mereka berdua sudah serik. Cukuplah itu kali terakhir mereka masuk ke
situ mencari ayam hutan.
Sebelum kejadian itu, sudah banyak kali aku masuk
ke kawasan itu mencari ayam hutan. Elok saja, tiada apa-apa berlaku. Tapi,
mungkin pada hari kejadian itu kami semua jadi terlalu tamak.
Biasanya, kami hanya menembak di pinggir saja,
tetapi pada hari tersebut kami masuk terlalu jauh ke dalam sebab sudah seronok
lepas seekor, seekor demi seekor ayam terus mengena hingga kami jadi tamak.
Mungkin sebab itu ‘penjaga’ di situ marah apabila
terlalu banyak ayam mereka kami ambil.
Sumber Mohd Zaki dari Johor Bahru.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen,
Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Pihak MyTeam Network tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang
diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik
akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik
akaun itu sendiri.