Resipi Pajeri Nenas Utara Warisan Turun-Temurun Yang Pekat & Sedap


 Jika anda penggemar pajeri nenas, tentu anda pernah mencuba atau melihat pelbagai jenis dan cara masakan orang yang membuat menu ini.

Terdapat pelbagai cara untuk memasak pajeri nenas. Ada yang bersantan dan ada juga yang tidak menggunakan santan.

Menerusi perkongsian resipi daripada Mohd Rozmie ini, Pajeri Nenas ini adalah resepi warisan temurun dari arwah emaknya. Sedap dimakan bersama ikan pekasam goreng.

Masakan pajeri nenas utara ini kuahnya sedikit pekat dan rasanya manis.

RESIPI CARA BUAT PAJERI NENAS

BAHAN-BAHAN:

1 biji nenas | potong tebal, jangan terlalu nipis

4 ulas bawang merah | diracik nipis

3 ulas bawang putih | diracik nipis 

1 inci halia | diracik nipis 

Rempah 4 sekawan

1 tangkai daun kari 

3 sudu besar serbuk kari daging | dibancuh dengan air 

50gm ikan bilis | ditumbuk halus terlebih dahulu 

1 sudu besar udang kering | ditumbuk halus terlebih dahulu 

100ml santan 

2 sudu besar kerisik 

2 – 3 sudu besar gula 

Garam secukup rasa 

½ cawan minyak masak 

Sedikit air

CARA-CARA:

1.Panaskan dalam ½ cawan minyak. Perlukan minyak yang banyak agar rempah masak elok nanti.

2. Bila minyak sudah panas, masukkan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dipotong nipis.

3. Masukkan rempah 4 sekawan dan daun kari. Tumis sehingga bawang layu dan naik bau.

4. Bila bawang sudah layu elok, masukkan bancuhan rempah. Tumis hingga mula pecah minyak.

5. Masukkan ikan bilis dan udang, gaul hingga sebati. Masukkan sedikit air (anggaran ¼ cawan atau lebih), tumis sehingga nampak rempah kering.

6. Ulang lagi masukkan air (¼ cawan) tumis sehingga rempah kering. Ulang begini dalam 4 kali supaya rempah masak elok dan sebati.

7. Bila rempah dah masak elok, masukkan nenas yang telah dipotong dan gaul sebati dengan nenas. Jika rempah terlalu kering, boleh ditambah sedikit air tapi jangan banyak sangat.

8. Tutup tudung dan kecilkan api, biarkan mereneh dalam 10 – 15 minit. Sekali sekala perlu kacau supaya rempah tak hangit.

9. Masukkan sedikit santan (anggaran 100ml atau setengah kotak). Jangan terlalu banyak santan. Pajeri Nenas yang elok tak perlukan santan yang banyak.

10. Masukkan kerisik dalam 2 sudu besar. Saya suka kuah pajeri yang pekat sebab tu masukkan 2 sudu besar. Kalau anda nak kurangkan pekat, boleh kurangkan kerisik.

11. Masukkan 2 atau 3 sudu gula. Pajeri ni rempahnya perlu rasa manis, barulah terangkat rasa pajeri nenas ini.

12. Masukkan sedikit garam untuk seimbangkan rasanya. Selepas masukkan santan dan bahan tadi dan mula mereneh elok, dah boleh ditutupkan api.

Kredit resipi: Mohd Rozmie

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post