Kepada anda yang menggemari hidangan salad, sudah pasti mempunyai pilihan sos atau salad dressing yang digemari. Terdapat pelbagai resipi jenis sos salad yang telah dicipta antaranya sos Italian, Korean, Asian, mint, sweet chilli dan sebagainya.
Justeru itu, penulis ingin kongsikan enam resipi sos salad yang mempunyai pelbagai ‘kerakyatan’ dari Puan Siti Hazneza Abdul Hamid. Selain itu, anda juga boleh menikmatinya sebagai sos pencicah dengan pelbagai makanan seperti dicadangkan di bawah.
SOS SALAD PELBAGAI ‘KERAKYATAN’
sos salad
Kali ini adik balik beraya Haji, saya sempat jumpa sekejap. Oleh sebab makanan banyak di rumah, adik tidak minta saya masak apa-apa untuknya.
Cuma ada adik sebut hendak kuah salad (salad dressing) supaya apabila adik makan salad tidaklah terlalu terseksa ataupun bosan. Adik tidak mahu beli kuah salad sedia terjual kerana, “besar sangat!”
Jadi saya buat beberapa jenis dalam bekas kecil-kecil biar hatinya suka. Berikut senarai kuah salad yang dibuat dan pasangan yang saya cadangkan:
1. Mint atau Pudina
4 sudu makan minyak sayuran (saya guna minyak masak biasa saja)
1 sudu teh bawang putih cincang
1 sudu makan daun pudina kering
1 sudu teh garam
½ sudu teh serbuk lada hitam
Profil rasa Mediterania. Sesuai dengan tomato, timun, cili benggala (capsicum) dan daun hijau rapuh seperti salad Romaine. Boleh pasangkan dengan daging atau ayam.
Bagi bahan rapuh tambahan boleh guna badam atau walnut. Letusan rasa manis atau masam pula boleh letak kismis kuning, hitam atau kranberi kering.
2. Lemon black pepper atau lemon dan lada hitam
4 sudu makan minyak sayuran
2 sudu makan jus lemon
1 ½ sudu teh bawang putih
1 sudu makan biji lada hitam – tumbuk kasar
1 sudu teh garam
½ sudu teh serbuk lada hitam
Sesuai untuk ayam, daging atau ikan, selain untuk pelbagai salad. Bahan rapuh, kuaci labu atau bunga matahari. Bahan masam atau manis boleh letak tomato kecil.
3. Italian
4 sudu makan minyak sayuran
1 sudu makan cuka
1 sudu makan Italian mixed herbs
1 sudu teh bawang putih cincang
1 sudu teh garam
½ sudu teh serbuk lada hitam
Sesuai untuk pelbagai jenis salad terutama daun-daun lembut dan pahit seperti arugula, frisse atau rodicio. Serasi dengan ayam, daging dan ikan berlemak seperti salmon.
Bahan rapuh boleh guna badam, walnut atau kacang pain. Bahan masam atau manis boleh guna kranberi kering, strawberi dihiris.
4. Asian (China)
3 sudu makan minyak sayuran
1 sudu makan minyak bijan
2 sudu teh halia-bawang-bawang putih mesin
1 penutup kicap masin cair
2 sudu makan jus limau nipis
Sesuai dengan ikan, tempe atau tauhu digoreng sedikit. Enak dengan salad kubis panjang ditambah daun bawang dan timun.
Bahan rapuh boleh guna gajus atau snek maruku ikan atau Mimi yang panjang-panjang itu. Boleh guna kranberi kering untuk bahan masam atau manis.
5. Sweet Chilli atau Cili Manis
4 sudu makan minyak sayuran
1 sudu teh bawang putih cincang
1 sudu makan emping cili (chilli flakes)
1 sudu makan madu
1 sudu makan jus limau nipis
1 sudu teh garam
Sesuai dengan pelbagai salad termasuk sengkuang dan taugeh. Enak dengan ayam, ikan, tempe atau tauhu.
Bahan rapuh boleh tambah bijan, kacang tanah atau gajus. Rasa masam atau manis boleh guna halwa halia, nanas.
6. Korean atau ala-Korea
4 sudu makan minyak sayuran
1 sudu makan minyak bijan
1 sudu teh guochucang
2 sudu teh halia-bawang-bawang putih mesin
1 sudu makan madu
1 penutup kicap masin cair
1 penutup jus limau nipis
Sesuai untuk ayam, ikan, sotong, udang (makanan laut), tempe dan tauhu. Sesuai dengan pelbagai salad.
Bahan rapuh adalah gajus, kacang tanah, bijan atau walnut. Guna halwa halia atau nanas untuk bahan masam atau manis.
Semoga membuka selera kawan-kawan terutama yang mengamalkan diet keto atau yang ingin menambah pengambilan sayur-sayuran seharian.