Arkitek kongsi cara berjimat... Belanja RM20 beli seekor ayam, boleh dapat 10 bekas makanan stok seminggu


 KENAIKAN kos sara hidup menyebabkan ramai terpaksa membelanjakan lebih wang setiap hari.

Namun sebenarnya terdapat beberapa cara mudah boleh dilakukan untuk berjimat atau menguruskan wang secara berhemah.

Baru-baru ini, seorang arkitek terpanggil untuk berkongsi cara mudah untuk mengurangkan kos perbelanjaan makanan.

Perkongsiannya dibuat susulan tweet di akaun @Pelabur_bijak yang berpendapat orang ramai perlu belajar untuk memasak sendiri kerana nilai RM20 sudah tidak lagi mencukupi untuk makan.

Menurut Huda Mahmud, dengan wang bernilai RM20 dia boleh membeli seekor ayam yang kemudiannya diperap dan boleh dibahagikan kepada 10 bekas makanan.

"Minggu lalu beli ayam seekor dapatlah masak 10 bekas lauk. Masak satu hingga dua minggu sekali.

"Saya sibuk kerja 14 jam setiap hari, enam hari seminggu. Ini semua lauk untuk makan tengah hari (merujuk pada gambar). Sarapan makan roti.

"Makan malam selalunya buah-buahan saja sebab sampai rumah dah penat otak," tulisnya di Twitter.

Jelas Huda lagi, dia mengambil masa sekitar dua jam untuk menyiapkan empat hingga lima hidangan lauk untuk disimpan ke dalam peti sejuk beku.

Tambah Huda, dia hanya mengambil masa satu hari sahaja untuk menyiapkan makanan yang boleh dimakan sehingga satu hingga dua minggu itu.

Antara menu yang sering dimasak termasuklah kari, kurma, sup, masam manis, kicap, sambal, sardin, tomyam dan paprik.

Bawang yang dikisar lebih awal dan disimpan membantu menjimatkan masa untuk memasak.

"Kalau nak makan, saya panaskan dalam ketuhar gelombang mikro dekat pejabat atau kalau di rumah saya biarkan di luar sekejap dan kemudian panaskan dalam periuk.

"Untuk nasi, saya masak setiap hari. Sayur pula saya makan timun Jepun atau sejenis salad. Kalau sayur bok choi saya celur waktu malam dan simpan dalam chiller saja untuk makan esok.

"Sayur tak sesuai untuk kaedah sejuk beku. Saya akan ambil jenis yang segar saja," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Huda sempat berkongsi tip iaitu menggunakan sudu berlainan untuk mencedok bawang supaya ia lebih tahan lama dan tidak cepat rosak.

Bagaimanapun, ujar Huda, kaedah dicadangkan ini mendapat kecaman sehingga dicop sebagai pemalas apabila hantarannya disebarkan di Facebook.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post