Ada ketulan kena tekan sampai keluar! Wanita kongsi cara mudah buang lendir ikan keli, hilang bau hanyir


 SEBUT sahaja mengenai ikan keli, pasti ramai yang terliur sambil membayangkan keenakannya.

Malah, menu-menu seperti ikan keli goreng berlada, ikan keli lemak salai dan ikan keli goreng berempah sering menjadi pilihan rakyat negara kita.

Proses untuk mencuci ikan keli agak rumit kerana ia mempunyai lendir-lendir serta bau hanyir yang sukar untuk dihapuskan.

Menurut Suhana Ibrahim, ikan keli yang tidak dibersihkan dengan betul boleh menjejaskan selera individu yang mahu menikmatinya.

"Bab cuci memang masalah sebab ia ada lendir. Ada macam-macam petua dan cara nak hilangkan lendir keli. Kalau tak bersih, memang tak berselera nak makan.

Darah beku akan keluar selepas ikan keli ditekan, sekali gus dapat menghilangkan lendirnya.

"Ini salah satu cara saya cuci ikan keli. Langkah pertama, bersihkan perut ikan dahulu. Bahagian paling penting ialah buang benda hitam atau ketulan pada hujung tulang.

"Pastikan tekan sampai keluar, kiri dan kanan. InsyaAllah lepas buang, boleh cuci macam biasa. Hilang segala lendir pada ikan tu.

"Saya letak limau untuk hilangkan bau hanyir. Semoga bermanfaat buat semua," kongsinya menerusi laman Facebook.

Menurut beberapa netizen di ruangan komen, mereka turut menggunakan petua air asam jawa untuk membersihkan lendir keli.

Caranya, rendam ikan keli yang dibersihkan di dalam air asam jawa selama 10 minit, kemudian perah limau atau lemon sebelum ia dimasak.

Beberapa lagi netizen turut mencadangkan bahan seperti cuka dan tepung beras untuk membuang lendir serta manghapuskan bau hanyir keli.

Sumber ;mstar

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post