Pisang batik dapat sambutan luar biasa

Bermula sebagai hobi, seorang peniaga tidak menyangka anak pokok pisang batik yang diambil daripada kawannya tiga tahun lalu kini mampu menjana pendapatan sampingan kepada keluarganya.

Menurut Shahrul Rizal Che Omar,41, dari Kampung Parit Buaya, Gunung Keriang di sini berkata, beliau terkejut apabila pisang batik, jenis Musa Florida yang ditanam di rumahnya itu kini mendapat sambutan yang luar biasa.

Katanya, pada mulanya dia hanya menunjuk pokok pisang batik itu di media sosial untuk rakan-rakannya sahaja dan ramai yang mula berminat untuk mendapatkannya.

“Pada mulanya saya hanya menjual dengan harga RM50 hingga RM100 tetapi sambutannya sungguh menggalakkan apabila turut mendapat tempahan dari luar negeri.

“Gembira dengan sambutan yang sungguh menggalakkan itu saya mula menyemai anak benih pisang itu.

“Pada Februari 2021 harganya semakin melonjak hingga ada pelanggan sanggup membelinya dengan harga mencecah ribuan ringgit. Pernah saya menjualnya di dalam media sosial dan dalam masa sejam sahaja sebanyak 5 pokok anak pisang batik habis di jual,” katanya kepada Utusan Malaysia sini hari ini.

Menurut Shahrul Rizal, semasa tempoh Perintah Kawalam Pergerakan (PKP) yang lalu beliau banyak menghabiskan masanya dengan berniaga pokok pisang itu selepas gerainya tidak dapat beroperasi.

“Alhamdulillah, semasa PKP dengan menjual pokok ini mampu memberi pendapatan kepada keluarga saya. Malah pendapatan yang saya terima lebih daripada pendapatan sebagai peniaga char kuey teow selama ini.

“Anak benih pisang batik yang saya jual ini harganya bergantung kepada saiz pokok itu dan selalunya antara RM150 hingga RM4,000 sepokok. Penah seorang pelanggan dari Kuala Lumpur sanggup membelinya hingga harga RM4,000 sepokok.

“Sambutan yang menggalakkan ini menyebabkan saya banyak membekalkannya sehingga ke seluruh negeri. Bagimanapun bekalan yang terhad menyebabkan saya tidak membekalkan walaupun permintaan tinggi pada hari ini,” ujarnya.

Menurut Shahrul Rizal, pokok pisang batik ini sangat unik kerana daunnya yang berbatik dan sangat sesuai untuk tanaman lanskap di halaman rumah.

Selain dari itu, Shahrul Rizal berkata, pokok pisang itu ketinggiannya seperti pokok pisang biasa dan buahnya juga turut bercorak seperti batik .

“Saiz buahnya seperti pisang biasa juga dan sedap di makan seperti rasa pisang berangan dan emas. Setiap pokoknya akan berbuah dalam masa lapan hingga sembilan bulan bergantung kepada penjagaan dan pembajaan dilakukan.

“Batang pokok pisang batik ini berwarna kemerahan dan pelepahnya pula berwarna merah jambu. Keanihan pokok ini menyebabkan ramai peminat lanskap sangat tertarik dengan pokok ini dan tidak hairanlah mereka sanggup membelinya walaupun dengan harga yang mencecah ribuan ringgit,” katanya.

sumber ;UTUSAN ONLINE

 

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post