Gegendang telinga pecah, bocor akibat korek telinga guna besi

PETALING JAYA – Tabiat suka membersihkan telinga menggunakan besi dan putik kapas menyebabkan seorang pesakit merana apabila gegendang telinganya pecah dan bocor.

Menerusi perkongsian Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr. Mohd. Shaiful Nizam memberitahu, pesakit itu mempunyai tabiat tersebut sudah agak lama malah, dia sendiri menunjukkan besi kecil itu kepada beliau sewaktu mendapatkan rawatan.

“Pesakit tersebut mengalami gejala seperti sakit di telinga kiri, kurang dengar serta bunyi berdesing,” katanya pada hantaran di media sosial.

Beliau menjelaskan, tahi telinga atau dikenali sebagai earwax (lilin telinga) tidak perlu dikorek kerana mempunyai mekanisme tersendiri melalui kunyahan mulut, pergerakan rahang dan pertumbuhan kulit dalam telinga yang akan menolaknya keluar.

Katanya, earwax bersifat kali air iaitu mencegah air daripada masuk ke salur telinga dan bersifat antibakteria untuk melindungi telinga daripada jangkitan dan pembiakan bakteria serta kulat.

“Ia juga bersifat asid untuk melembabkan kulit halus sekitar saluran telinga, menghalang kemasukan serangga-serangga kecil seperti semut, lalat dan nyamuk serta mengeluarkan kotoran dan habuk dalam saluran telinga.

“Sebab itu doktor pakar ENT melarang pesakit mereka mengorek telinga. Apabila tahi telinga sentiasa dikorek, secara tidak langsung akan menyebabkan ia tertolak ke bahagian tengah saluran telinga seterusnya akan berkumpul dan tersumbat.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan masalah pendengaran (berdesing dan kurang dengar). Lebih parah lagi ia boleh menyebabkan luka serta radang telinga luar dan tengah selain kecederaan pada gegendang telinga,” ujarnya.

Sehubungan itu, jika terlalu banyak tahi telinga dan rasa tersumbat, gunakan ubat titis telinga untuk melembutkan tahi yang keras atau segera mendapatkan pemeriksaan pakar ENT jika masih tersumbat dan bergejala. –

sumber[KOSMO! ONLINE

 

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post