Lelaki terkejut jumpa bom mortar ketika kemas stor

KAMPAR – Seorang nelayan darat terkejut menjumpai dua objek berupa bom ketika sedang mengemas bilik stor di belakang sebuah rumah di Kampung Tersusun Muhibbah, Malim Nawar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, lelaki berusia 59 tahun itu menjumpai objek berkenaan ketika berada di rumah peninggalan abang iparnya pada pukul 8.30 pagi.

Katanya, objek berbentuk bujur dan berwarna perak menyerupai bom itu berada dalam rak kayu di dalam stor tersebut.

“Lelaki terbabit yang tidak mahu mengambil tindakan sendiri kerana bimbang terjadi sesuatu yang tidak diingini telah datang ke balai polis bagi membuat laporan.

“Sepasukan anggota termasuk dari Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kampar telah digerakkan ke lokasi bagi membuat pemeriksaan termasuk memaklumkankan kepada Unit Pemusnah Bom (UPB), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak,” katanya di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, bom itu dijumpai ketika pengadu mengemas pinggan mangkuk dan barang lama di dalam stor milik abang iparnya yang telah pun meninggal dunia.

Katanya, pemeriksaan mendapati, objek yang dijumpai itu merupakan dua butir bom jenis mortar 60 milimeter (mm) yang berada di atas dan di bawah rak kayu.

sumber;KOSMO! ONLINE

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post