Siapakah tujuh wira Melayu tragedi 15 Februari 1942?

Kemunculan 15 Februari tahun ini menjentik ingatan kita kepada 1942, 80 tahun lalu. Tercetusnya Perang Dunia Kedua (PD2) dan kesan-kesannya kepada Malaysia dan negara-negara jiran adalah penting dalam lipatan sejarah negara.

Ini adalah masa yang sesuai untuk melewati semula peranan dan sumbangan wira-wira negara dari Rejimen Melayu dan batalion-batalion tentera sukarela dalam perang besar itu.

Rekod rasmi sebelum perang menunjukkan terdapat kira-kira 3,000 tentera sukarela berbangsa Eropah dan 7,000 tentera sukarela anak tempatan pelbagai kaum. Mereka merupakan pelopor kepada pembentukan Rejimen Askar Wataniah sekarang.

Tentera-tentera sukarela tersebut dilatih di unit masing-masing dan ditugaskan berjuang di bawah perintah rejimen-rejimen British, India dan Australia apabila penaklukan Jepun bermula. British menyerah kalah kepada tentera imperial Jepun di Singapura pada 15 Februari setelah berlaku pertempuran sengit di beberapa kawasan berikutan pengunduran tentera British ke Tanah Melayu.

Beberapa tahun lalu, melalui jalinan hubungan dengan Malayan Volunteers Group (MVG) yang dibentuk untuk mengkaji peranan tentera-tentera sukarela, saya berpeluang melihat satu senarai nama lelaki tempatan dari Kuala Selangor yang terkorban dalam peperangan. Terdapat 23 nama, 16 daripadanya berbangsa Eropah manakala tujuh lagi orang Melayu dan merupakan anak tempatan daerah itu.

Saya dapati beberapa kajian mengenai tentera Eropah yang tersenarai telah dijalankan berasaskan penyelidikan dilakukan di Arkib Negara Malaysia (ANM). Ia merupakan sumber maklumat utama bagi penyelidikan saya.

Secara kebetulan, sepucuk surat bertarikh 15 Februari 1951 yang dihantar oleh anak lelaki salah seorang tentera bangsa Eropah yang tersenarai kepada ibunya telah menyebut mengenai satu majlis membuka tirai plak peringatan (di mana tertera nama semua askar yang terkorban) yang dilangsungkan di Kuala Selangor. Ini mengesahkan kesahihan senarai nama-nama yang diperoleh.

Sayang sekali, walaupun terbukti kesahihan tarikh serta kewujudan plak peringatan dengan senarai nama ketujuh-tujuh tentera sukarela dari Kuala Selangor yang terkorban, namun kajian terhadap akhbar-akhbar tempatan pada ketika itu gagal mengesan sebarang sebutan atau liputan mengenai ketujuh-tujuh wira Melayu terbabit.

Bagaimanapun, kajian seterusnya mengesahkan tiga daripada tujuh tentera sukarela Melayu yang tersenarai adalah anggota tentera Rejimen Melayu. Korporal Napi bin Ahmad terbunuh akibat tembakan meriam katak ketika mempertahankan Jambatan Sungai Muar di Buloh Kasap pada 7 atau 8 Januari. Prebet Ismail bin Mat dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di Pasir Panjang, Singapura pada 14 Februari. Prebet Sulong bin Sudin pula, berkemungkinan besar adalah anggota pancaragam dan berperanan sebagai pengusung strecer pada hari-hari terakhir pasukan Rejimen Melayu beroperasi di Singapura.

Kajian turut mengesahkan tiga lagi tentera Melayu yang tersenarai adalah anggota Pasukan Sukarela Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMSVF) dari Batalion 2 Selangor. Adalah dipercayai Zakaria bin Mat Yuda juga adalah anggota sukarela FMSVF, sementara maklumat mengenai Abdul Rani bin Malhmudin dan Busu bin Kussin pula gagal diperoleh.

Bagaimanapun, didapati koleksi ANM ada menyimpan maklumat mengenai Sarjan Idrus bin Mohd. Yunus. Sementara itu, Korporal Mohd. Radzi bin Mohd. Yunus (mungkin bersaudara) dan Leftenan II Wickens secara berasingan memperakukan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 Januari 1942.

Mengikut perintah yang dikeluarkan, Platun 14, 2 FMSVF bergerak keluar dari Klang menuju Bukit Raja Estate di mana berlaku pertempuran. Ketika berundur menuju Batu Tiga, konvoi trak mereka diserang hendap dan beberapa anggota tercedera termasuklah Mohd. Radzi dan Idrus. Wickens turut bercerita mengenai ketabahan tentera-tentera yang tercedera serta respons Idrus, “semua ada baik” apabila ditanya mengenai keadaan mereka yang berada di belakang trak. Idrus yang cedera parah ditembak di dada, akhirnya meninggal dunia di dalam trak dan dikebumikan di Tanah Wakaf Hospital Seremban.

Justeru, susulan 15 Februari menjenguk kita lagi, inilah masa terbaik untuk memperingati dan mengimbau kembali jasa dan pengorbanan pejuang dan wira ini yang diabadikan nama-nama mereka di plak peringatan di Kuala Selangor suatu masa dahulu.

Namun, siapakah mereka? Mungkin waris, ahli keluarga serta kenalan kepada ketujuh-tujuh pejuang sukarela ini dapat tampil ke hadapan untuk berkongsi maklumat, pengalaman dan penceritaan mengenai mereka untuk tatapan generasi akan datang.

Sejumlah 7,000 tentera sukarelawan anak tempatan berjuang untuk negara pada zaman perang. Bagaimana pula penceritaan mengenai mereka?
Pastinya banyak lagi pengkisahan mengenai wira-wira negara perlu dicatat, dipelihara dan dikongsi bersama pada ketika kita memperingati peristiwa-peristiwa seperti 15 Februari 1942, 80 tahun lalu yang menyumbang kepada pembentukan Malaysia berdaulat dan merdeka.

ELIZABETH MOGGIE, Kuala Lumpur

No comments

Powered by Blogger.